AMAR Singh (dua kiri) menunjukkan barang rampasan berkaitan kejayaan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. FOTO Salhani Ibrahim
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan skim pelaburan emas yang menggunakan pengaruh kerabat diraja untuk promosi dengan penahanan enam suspek dalam siri operasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Antara yang ditahan dalam operasi pada 26 Januari lalu itu adalah seorang individu bergelar Datuk Seri dan tiga Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, semua suspek yang berusia 42 hingga 62 tahun itu ditahan selepas polis menerima 193 laporan membabitkan kerugian RM27.5 juta di seluruh negara membabitkan sindiket berkenaan sejak Oktober 2015 hingga Disember 2017.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah syarikat dan penganjur dalam skim terbabit termasuk masing-masing seorang individu bergelar Datuk Seri dan kerabat diraja serta tiga individu bergelar datuk.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas lapan kenderaan mewah milik suspek, lapan telefon bimbit, tiga kad ATM, empat kepingan emas, tiga jam tangan berjenama, lima buku cek dan wang tunai RM200,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, hari ini.

Amar Singh berkata, sindiket itu menawarkan dua pelaburan utama iaitu jual beli jongkong emas dan minyak dengan pulangan lumayan bagi tempoh sembilan bulan.

"Bagi skim pelaburan jongkong emas, pelabur dijanjikan pulangan lumayan dua peratus sebulan, manakala pelaburan minyak sebanyak 15 peratus setiap bulan bagi tempoh sembilan bulan.

"Malah, suspek turut mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja serta orang kenamaan bagi menambah keyakinan pelabur terhadap skim ini," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Pelabur diminta membuat pengesahan daripada agensi berkaitan terlebih dulu bagi memastikan kesahihan sesuatu skim pelaburan yang ditawarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:33 PM