ANTARA mangsa yang terkena letupan mercun ketika perarakan Thaipusam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami Jalan Kuala Ketil.
ANTARA mangsa yang terkena letupan mercun ketika perarakan Thaipusam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami Jalan Kuala Ketil.
BERNAMA

Sungai Petani: “Masa itu saya hanya mahu peluk anak saya sebab dia berdarah teruk.

“Saya tak fikir apa-apa lagi walaupun sari saya turut terbakar akibat terkena serpihan mercun,” kata seorang mangsa letupan mercun pada perarakan Thaipusam, malam kelmarin.

A Tiruselvi, 41, berkata beliau tidak menyangka sama sekali tragedi itu berlaku apatah lagi ketika beliau dan anak lelakinya, D Shashildavi, 14, sedang khusyuk menikmati percikan ‘bunga bercahaya’ yang terhasil melalui letupan mercun berkenaan.

“Tiba-tiba, das keempat mercun tidak menjadi. Ia meletup di bawah berdekatan tanah dan kebetulan kami berdua berdiri agak dekat di situ menyebabkan percikan api turut menyambar sari dan rambut saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). Letupan itu mencederakan anaknya dan tanpa berfikir panjang, Tiruselvi menarik tangan anaknya ke tempat selamat sambil meminta bantuan orang ramai.

Letupan mercun berhampiran Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam itu menyebabkan 26 cedera, 14 daripadanya lelaki dengan semua mereka berusia lima tahun hingga 59 tahun.

Kejadian berlaku 50 meter dari kuil berkenaan iaitu berdekatan pasar raya Muttiyas ketika puluhan ribu penganut Hindu sedang menyaksikan perarakan keluar tokong dari kuil itu.

Perarakan itu membabitkan jarak keseluruhan lima kilometer bermula jam 7.30 malam dari kuil berkenaan dan dihadiri 50,000 pengunjung.

Kuil itu adalah satu daripada lokasi penting bagi acara sambutan Thaipusam setiap tahun, malah rata-rata mangsa berkata, ini kali pertama mereka melihat pertunjukan mercun pada sambutan itu.

Sementara itu, N Sundagaran, 39, yang juga sukarelawan kuil berkenaan berkata, beliau tidak sempat melarikan diri ketika kejadian berlaku akibat berhimpit dengan pengunjung lain yang menjerit dan meraung kerana terkena percikan api.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:32 AM