AHLI keluarga menunggu jenazah mangsa di pekarangan bilik mayat Hospital Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PENGAWAL keselamatan lemas ketika menjaring ikan bersama keluarga di pantai di Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson, hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Shaiful Zaman Abdul Jabbar, 39, dipercayai terperangkap ketika air pasang besar sebelum dihanyutkan arus.

Sepupu mangsa, Habibu Rahman Baharuddin, 40, berkata, dia ke pantai itu bersama tujuh ahli keluarga sebelum lima daripada mereka turun ke tepi laut.

“Kami memasang jaring dan air di pantai ketika itu begitu tenang. Tiba-tiba air pasang besar berlaku menyebabkan paras air semakin dalam.

“Kami berenang ke daratan namun Saiful Rahman tidak dapat bergerak kerana dia tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD), hari ini.

Menurutnya, dia cuba menyelamatkan sepupunya namun lelaki itu hilang.

“Dalam keadaan panik, saya menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Port Dickson, Razif Mohamad Harris berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 3 pagi dan mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan segera dan ia berlanjutan sehingga 7 pagi. “Mayat ditemui pada 7.07 pagi iaitu 50 meter daripada lokasi awal mangsa dilaporkan hilang. Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 11:54 AM