FOTO hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


SURI rumah didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM900 milik mangsa penipuan pembelian telefon pintar iPhone, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Nirmal Manoj Kumar, 23, mengaku salah terhadap tuduhan terbabit.

Tertuduh didakwa menyembunyikan wang RM900 yang diberikan Nor Hadhirah Abdul Hamid, 32, ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya di Impiana Villa, Nilai, pada 20 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa berminat membeli iPhone 6 Plus berharga RM1,800 yang diiklankan sebelum berurusan dengan tertuduh.

Tertuduh meminta mangsa memasukkan wang pendahuluan RM900 dan bayaran penuh perlu dibuat apabila telefon pintar itu dihantar kepada mangsa.

Mangsa kemudian menerima mesej meminta membuat bayaran penuh, tetapi jika enggan meneruskan pembelian, wang pendahuluan akan dikembalikan.

Mangsa bersetuju wang dikembalikan, tetapi sehingga kini tidak menerimanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 2:53 PM