DUA tertuduh diiringi polis keluar dari kamar Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas mengaku bersalah, semalam.
Adie Suri Zulkefli


Sungai Petani: Dua lelaki dijatuhkan hukuman denda RM4,000 dan penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana menyebabkan kecederaan terhadap orang awam dalam kejadian letupan mercun ketika perarakan Thaipusam, Khamis lalu.

Majistret Mohamad Fared Abd Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap V Indran dan S Pubalan yang masing-masing berusia 25 tahun selepas mereka mengaku salah terhadap empat tuduhan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Indran yang bekerja sebagai operator kren dan Pubalan sebagai pembantu tukang masak dituduh bersama-sama membakar mercun secara gopoh atau cuai yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Vetrivel di Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil, jam 8.29 malam pada 1 Februari lalu.

Mereka dituduh bersama-sama atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada S Vasatha, 55, R Savinthra, 11, N Murugan, 60, dan D Kumar, 38, pada masa dan tempat yang sama.

Indran dan Pubalan yang diwakili peguam R Babunaidu mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:06 AM