MOHD Arif (kanan) menunjukkan nasi goreng sotong yang dijual di gerainya kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Terengganu, Zuhami Omar. FOTO Rosli Ilham
MOHD Arif (kanan) menunjukkan nasi goreng sotong yang dijual di gerainya kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Terengganu, Zuhami Omar. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“Saya sudah membuat keputusan untuk menyerahkan semula bantuan bulanan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM. Saya harap bantuan itu diberikan kepada ramai lagi orang memerlukannya,” kata Mohd Arif Abdullah, orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Mohd Arif, 45, yang buta mata kiri dan rabun mata kanan sejak dilahirkan mengambil keputusan itu selepas perniagaan nasi goreng sotong yang diusahakan di Kampung

Seberang Pintasan, Dungun meraih pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 sehari.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Suhana Mohamad,48, sejak dua tahun lalu meraih pendapatan sebegitu melalui '2 Years Exit Program (2YEP)' anjuran JKM.

“Mata kiri saya tiada dan mata kanan rabun sejak dilahirkan. Saya diberi modal RM2,700 oleh JKM dan bantuan RM350 sebulan.

"Bapa mentua memberi kebenaran membuka kedai di depan rumahnya,” katanya ketika menerima kunjungan Pegarah JKM negeri, Zuhami Omar ke kedainya, semalam.

Katanya, dia membina kedai kecil dan memulakan perniagaan secara kecilan sejak 2016 dengan menjual nasi campur sehingga 2 petang dan ketika itu pendapatannya sekitar RM200 sehari.

“Demi membuktikan OKU boleh maju sebagaimana insan biasa, saya dan isteri mengambil keputusan mencipta resipi nasi goreng sotong segar dan alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat membanggakan.

"Nasi goreng sotong saya jual dengan harga (RM8) dansaya tambahkan lagi beberapa menu seperti mee celup dan mee rebus (RM4) dan mee udang (RM5). Alhamdullilah jualan sangat membanggakan” katanya.

Menurutnya, dia memulakan perniagaannya pada 11 pagi sehingga 10.30 malam dan bercadang untuk membesarkan lagi kedainya memandangkan perniagaannya semakin maju.

“Saya tidak mahu menjual makanan dengan harga mahal kerana niat saya semata-mata berniaga sambil bersedekah kerana saya tahu kebanyakan pelanggan saya adalah penduduk tempatan yang kebanyakannya adalah golongan nelayan.

"Saya daripada keluarga yang susah dengan 10 adik beradik dan ayah hanya kerja kampung. Sebab itu saya mahu makanan yang saya jual dapat dinikmati semua pihak termasuk kanak-kanak dan golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, setiap hari dia perlu menyediakan 20 hingga 25 kilogram sotong segar termasuk pelbagai ikan yang segar yang dibeli daripada nelayan di kampungnya itu.

“Saya kini dah dapat menggaji dua pekerja pada syif petang dan dua pekerja pada syif malam. Semua pekerja saya adalah penduduk kampung dengan upah RM40 sehari setiap seorang.

"Biarpun penat, saya sangat gembira dengan hasil yang saya perolehi hari ini. Oleh itu sudah sampai masanya saya perlu menolak bantuan bulanan JKM supaya JKM boleh bantu lebih ramai lagi insan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Mohd Arif berkata, sejak perniagaan semakin maju, dia sudah berjaya menyiapkan rumah berharga RM50,000 di Kampung Sura Hujung sekaligus tidak menumpang lagi di rumah mentuanya.

“Syukur dengan rezeki Allah berikan hari ini. Saya menutup perniagaan pada hari Jumaat kerana hari itu saya dan isteri akan mengikuti kuliah agama di masjid.

“Insyallah sedikit masa lagi, saya bercadang akan membawa isteri dan anak tunggal kami, Lokman Nor Adam,11, mengerjakan umrah,” katanya.

Sementara itu, Zuhami berkata, beliau kagum dengan kejayaan yang dikecapi Mohd Arif yang berusaha gigih sehingga berjaya dalam perniagaan yang diceburinya itu.

Katanya, beliau berharap agar kejayaan Mohd Arif diikuti lebih ramai lagi penerima bantuan JKM sekaligus dapat mengeluarkan mereka daripada golongan miskin.

“Melalui 2YEP yang diperkenalkan sejak 2016, kita telah membimbing 300 penerima bantuan JKM dan daripada jumlah itu 64 peserta telah berjaya.

"Mohd Arif bukan saja menjadi Ikon kepada JKM malah kita akan melantiknya menjadi pembimbing kepada perserta yang lain dan atas kejayaannya itu kita akan batalkan bantuan bulanannya supaya bantuan itu dapat diberikan kepada orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 10:15 AM