MANGSA yang melecur dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my


LELAKI, 53, melecur sebanyak 85 peratus pada tubuh selepas terperangkap dalam kilang yang terbakar di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Pasir Puteh, Ipoh, hari ini.

Kebakaran pada 3.30 petang itu dipercayai bermula di kilang petrokimia sebelum merebak ke lima kilang lain.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.34 petang.

"Sepasukan 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Ipoh, Simpang Pulai dan Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mereka turut dibantu sepasukan pasukan bomba sukarela serta RELA (Jabatan Sukarelawan Rakyat).

"Dalam kebakaran itu, seorang lelaki melecur dan ketika kebakaran mula berlaku dia sedang menyusun barangan di lokasi berkenaan.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, petang tadi.

Mohamad Yunus berkata, kejadian itu turut menyebabkan lima kereta dan tiga motosikal yang diparkir berdekatan kesemua kilang berkenaan terbakar.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan nilai kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 7:34 PM