DR Fadhlullah (kiri) ketika majlis pelancaran FinTech Expo 2018 di Cyberjaya.
Suhaila Shahrul Annuar


Cyberjaya: Kadar penembusan selular mudah alih di Malaysia mencapai 131.8 peratus sehingga suku ketiga tahun lalu, sekali gus merancakkan industri perkhidmatan teknologi itu di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Dr Halim Shafie berkata, bagi tempoh itu juga, kadar penembusan telefon pintar mencapai 70 peratus dalam kalangan 32 juta rakyat Malaysia.

“Selain itu, kadar penembusan jalur lebar semasa adalah 84.5 peratus serta memenuhi permintaan yang diperlukan bagi semua peranti yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“SKMM sentiasa berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat justeru usaha ke arah sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Suruhanjaya SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek sempena Ekspo FinTech Malaysia 2018 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Usahawan Dinamik Datuk Rosman Ibrahim.

Ekspo FinTech Malaysia 2018 anjuran Persatuan Usahawan Dinamik dijangka mengumpulkan lebih 50 pempamer tempatan dan antarabangsa yang bakal mempamerkan rangkaian, produk dan perkhidmatan teknologi kewangan (FinTech).

Ekspo yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Mac depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, forum dan sesi perkongsian daripada penggiat industri.

Akhbar BH dan New Straits Times (NST) adalah rakan media ekspo berkenaan.

Selain itu, turut diadakan Majlis Anugerah FinTech Malaysia 2018 bagi mengiktiraf pencapaian syarikat teknologi kewangan di Malaysia yang berterusan menyediakan perkhidmatan paling inovatif dan terkini kepada pelanggannya.

Antara kategori yang dipertandingkan untuk majlis penganugerahan itu adalah Personaliti FinTech Terbaik, Syarikat FinTech Baru Terbaik, Inovasi FinTech Terbaik, Aplikasi Perbankan Terkenal selain anugerah utama iaitu Syarikat FinTech Terbaik.

Dalam pada itu, Halim berkata, SKMM berpandangan bahawa segmen e-pembayaran akan menjadi salah satu faktor utama dalam memastikan visi Malaysia untuk ke arah matlamat membentuk Ekonomi Digital dapat dizahirkan dengan jaya.

“Berdasarkan maklumat dari Bank Negara Malaysia (BNM) jumlah urus niaga perbankan Internet untuk individu meningkat lebih tiga kali ganda daripada 141.3 juta transaksi pada 2011 kepada 435.4 juta transaksi pada 2016.

“Pertumbuhan positif ini boleh dikaitkan dengan rangka kerja membabitkan insentif harga dan pasaran yang dilaksanakan BNM serta hasil program berterusan yang dijalankan oleh BNM dan industri perbankan untuk meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan perbankan Internet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:47 AM