AHMAD Bashah (dua kanan) diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Isahak Murat (kiri) melawat Pameran Reka Bentuk Kluster Sempena Ekspo Muafakat Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohd Aizat Shariff
mohd.aizat@hmetro.com.my


LEBIH 6,000 unit kediaman di seluruh Kedah akan ditawarkan kepada orang ramai pada harga diskaun sehingga 20 peratus.

Itu antara tarikan yang menanti pengunjung ke Ekspo Muafakat Kedah yang bakal berlangsung selama lapan hari bermula 24 Februari hingga 3 Mac ini bertempat di perkarangan Stadium Darul Aman.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata, ekspo terbesar yang julung kali diadakan itu, menjadi pentas terbaik kepada rakyat Kedah mendapatkan maklumat mengenai pencapaian kerajaan negeri dan segala perancangan pembangunan yang akan memberi faedah kepada rakyat.

"Ekspo ini juga membuka peluang dan ruang kepada anak muda untuk mengetengahkan pandangan mereka berkenaan cadangan atau kehendak mereka terhadap masa depan negeri ini.

"Ini kerana idea mereka (anak muda) ini juga sangat penting bagi membangunkan negeri dalam pelbagai bidang," katanya kepada pemberita semalam selepas majlis prapelancaran di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri menjangkakan 400,000 pengunjung termasuk dari negeri jiran seperti Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak akan hadir sepanjang tempoh penganjuran ekspo itu.

"Peluang ini juga dapat diambil oleh mereka untuk mencari hartanah idaman di negeri ini dan selain itu, bagi remaja dan belia yang masih mencari kerja, ekspo ini juga berguna untuk mereka mencari peluang pekerjaan kerana terdapat 20 kluster daripada 199 agensi yang terbabit dalam penganjuran ekspo ini," katanya.

Antara kluster yang bakal ditampilkan sepanjang Ekspo Muafakat Kedah adalah Kluster Pameran DiRaja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistik, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan zoo haiwan peliharaan.

Selain itu juga, para pengunjung berpeluang untuk bertemu dengan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan seperti Fattah Amin dan Fizo Omar serta selebriti tempatan seperti Rozita Che Wan dan Janna Nick.

Malah, turut diadakan adalah cabutan bertuah dengan pengunjung berpeluang memenangi hadiah seperti kereta, motosikal, barangan elektrik, pakej penginapan hotel, pakej pelancongan, baucer hiasan rumah dan gajet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 9:27 PM