Safeek Affendy Razali
am@hmetro.com.my


TIADA lesen memandu dikategorikan sebagai kesalahan tertinggi dikesan dalam Operasi Tahun Baru Cina (Ops TBC) 2018 di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duke, malam tadi.

Dalam operasi bermula 8.30 malam, seramai 139 penunggang motosikal didapati tidak mempunyai lesen memandu sah, manakala sebahagian besar lagi didapati gagal menunjukkan cukai jalan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, berdasarkan operasi sama di seluruh negara, kesalahan tiada lesen memandu direkodkan sebagai paling tinggi.

"Ini adalah punca kemalangan berlaku pada musim perayaan disebabkan sikap penunggang motosikal itu sendiri, apabila dia tiada lesen memandu dan bawa motosikal hingga membahayakan diri serta pengguna lain.

"Seseorang yang mempunyai lesen memandu pasti faham aspek keselamatan berbanding mereka yang tiada lesen memandu," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.


WAN Ahmad Uzir (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada penunggang motosikal dalam operasi di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duke, malam tadi. FOTO Asyraf Hamzah

Katanya, faktor penunggang motosikal tidak mempunyai lesen turut dikesan sebagai penyumbang terbesar kematian dalam kemalangan jalan raya.

"Itulah sebabnya kita (JPJ) mewujudkan pelbagai program masyarakat dalam memudahkan semua pihak memperoleh lesen memandu termasuk lepasan sekolah menengah dan golongan muda bagi mendidik mereka untuk mengutamakan keselamatan dan undang-undang," katanya.

Dalam operasi JPJ Wilayah Persekutuan yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak 1,065 motosikal diperiksa dan 355 kesalahan dikesan dilakukan penunggang motosikal.

AADK menahan enam individu termasuk seorang wanita mengandung, selepas ujian saringan air kencing mereka disahkan positif dadah, manakala JIM menahan empat warga asing kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Ops TBC 2018 berjalan serentak di seluruh negara mulai 9 Februari lalu dan akan berakhir pada 23 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 1:16 AM