HM Digital

Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup rokok haram selepas memintas bot pancung bersama 128,000 kotak rokok dengan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM500,000, satu batu nautika tenggara Tanjung Ayam, di sini.

Dalam serbuan jam 10 malam kelmarin, Maritim Malaysia menahan tujuh individu warga negara Indonesia dalam bot pancung itu.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohamad Othman, berkata, pihaknya bertindak atas maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang memaklumkan bot dari Pulau Batam, Indonesia melakukan aktiviti mencurigakan.

Katanya, pada jam 9.30 malam, bot ronda Maritim Malaysia mengesan bot pancung tidak memiliki nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan di kedudukan satu batu nautika tenggara Tanjung Ayam di sini.


MOHAMAD (kanan) menunjukkan rokok haram yang dirampas.

“Bot dipintas jam 10 malam dan pemeriksaan lanjut mendapati tujuh individu disyaki warga negara Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun berada dalam bot tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pihak kami menemui 128,000 rokok putih dibungkus dalam 256 kotak besar ditempatkan di dalam bot itu dipercayai cuba diseludup masuk dari Indonesia menerusi perairan Johor,” katanya.

Mohamad berkata, nilai keseluruhan cukai dianggarkan bernilai RM179,200 dan nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan empat enjin 250 kuasa kuda setiap satu dianggarkan melebihi RM500,000.

“Semua tujuh warga negara Indonesia itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(c) Akta Kastam 1967 kerana cubaan seludup rokok masuk ke Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:23 AM