MOHD Eksan (kanan) diselamatkan oleh rakannya selepas terjatuh ke dalam lubang ketika memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Teras Jernang. FOTO ihsan Bomba
Nursyahirah Marzuki
news@nstp.com.my


ANGGOTA bomba terselamat apabila terjerlus ke dalam lubang yang dipenuhi air dan sampah ketika melakukan kerja pemadaman api di tapak pelupusan sampah haram di Teras Jernang dekat Sepang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Izman Adnan berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Mohd Padil Mohd Eksan yang sedang menarik hos untuk memadamkan kebakaran tiba-tiba terjerlus ke dalam lubang akibat kawasan yang lembut kerana dipenuhi air dan sampah.

“Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan apabila dapat ditarik keluar oleh anggota bomba lain dalam tempoh dua hingga tiga minit.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan tetapi mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian anggota bomba terbabit sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di tapak pelupusan haram itu bagi memastikan api dapat dikawal segera dan tidak merebak ke kawasan berhampiran.

Menurutnya, kebakaran di tapak pelupusan haram di kawasan seluas lebih 0.4 hektar itu sudah berlarutan sejak 11 Februari lalu dan 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kerja pemadaman mengambil masa yang agak lama kerana tiada bantuan jengkaut untuk membuat pemadaman secara korek, sembur dan tanam walaupun sumber air mencukupi.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sampah haram yang dikumpulkan di kawasan itu dan menurut penduduk, sampah berkenaan dibakar oleh individu di kawasan sekitar.

“Selain itu, Skuad Khas Unit Pengurusan Bencana Negeri sudah membuat pemantauan darat dan udara dan mendapati masih terdapat kebakaran berlaku, namun dalam skala yang kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 12:14 PM