PENGUNJUNG sebuah disko di ibu negara yang ditahan untuk siasatan.
Safeek Affendy Razali


SEBAHAGIAN daripada 73 remaja yang mengunjungi sebuah pusat hiburan panik lalu melarikan diri apabila premis di tingkat bawah sebuah hotel di ibu negara diserbu, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, usaha mereka apabila premis sudah dikepung anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Hasil pemeriksaan dalam operasi diketuai Ketua BSJN IPD Dang Wangi Deputi Superintendan Selva Kumaran mendapati 24 pengunjung positif dadah, manakala dua lagi pengunjung didapati memiliki dua biji pil ekstasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, serbuan pada 2.30 pagi dibuat hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lalu berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di premis itu.

"Ketika serbuan, terdapat 73 pengunjung sedang leka dengan alunan muzik dan sebahagian daripada mereka dipercayai khayal.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba bertindak meloloskan diri, namun gagal,” katanya.

Katanya, pihaknya menemui dua biji pil ekstasi, manakala sebahagian lagi sudah dicampurkan dalam minuman pengunjung premis berkenaan.

"Kesemua yang ditahan adalah 14 lelaki dan enam perempuan tempatan serta empat lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 18 hingga 45 tahun selepas didapati positif dadah.

“Mereka direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Katanya, premis itu juga dikesan tidak memiliki lesen hiburan walaupun pemiliknya mendakwa proses mendapatkan lesen sedang dibuat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 2:24 PM