Fazrik Kamarudin


FENOMENA kepala air yang dipercayai menjadi punca arus deras di Sungai Gasi sehingga menghanyutkan lapan orang pemancing petang semalam bukan satu kejadian yang luar biasa.

Penduduk Kampung Paya Jaya Jaras Ulu, Adnan Yusof, 53, berkata, kepala air sering berlaku setiap kali selepas hujan lebat.

“Walaupun kawasan ini tidak hujan, kepala air masih boleh berlaku jika hujan turun dengan lebat di kawasan bukit.

“Penduduk kampung ini yang saya tahu, tiada yang pergi memancing di kawasan berlaku kejadian lemas semalam.

“Kawasan sungai di belakang rumah saya ini memang laluan kepala air, selalunya air boleh melimpah sampai ke tebing setiap kali kepala air lalu,” katanya kepada pemberita.

Peniaga, Adisman Samsuddin, 50, berkata, kawasan lubuk Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh memang tumpuan pemancing.

“Ikan di situ besar-besar, tapi bahayanya di Sungai Gasi selalu ada kepala air setiap kali selepas hujan.

“Lagipun kawasan sungai Itu sekarang agak dalam sebab ada projek mendalamkan dasar sungai bagi mengelakkan banjir.

“Saya rasa semalam mangsa tak sedar ada kepala air menuju ke arah mereka sebab kawasan ini tidak hujan petang semalam, mereka terkejut dan terus dihanyutkan arus deras tanpa sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Pengawal keselamatan, Shamsul Bahari Wahab, 48, berkata, setiap kali berlaku fenomena kepala air, air akan mencecah sehingga lima ke enam meter.

“Bahayanya kepala air, ia datang tanpa kita sedar, penduduk sini jarang yang memancing di situ sebab tahu bila-bila masa kepala air boleh jadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman, berkata, ketinggian air sungai setiap kali berlakunya kepala air adalah sekitar enam hingga tujuh meter.

“Sungai ini laluan ke laut, arus deras yang dikenali sebagai kepala air ini direkodkan setinggi kira enam hingga tujuh meter.

“Memang berbahaya kepada orang ramai, ia berlaku secara tiba-tiba, kadangkala tanpa sebarang tanda,” katanya.

Berita berkaitan:

Arwah anak yang baik

'Tunggu sini sampai jumpa kakak'

Pencarian diteruskan

[UPDATE] Jumpa mayat mangsa kedua

70 anggota cari 4 mangsa

Jumpa 7km dari lokasi hanyut

Terjun sungai, cuba selamatkan isteri

2 wanita antara 5 dikhuatiri lemas

7 pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 2:42 PM
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman (kanan) bersama anggota Bomba dan Penyelamat meneruskan operasi menyelamat bagi mencari mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad