NURUL Jamilah Abdul Jamil, 8 tahun mencari ibu kandung. FOTO Shahiman Sharip
Ruwaida Md Zain


WANITA mencari birasnya bagi membantu membuat permohonan sijil kelahiran anak saudaranya untuk membolehkan kanak-kanak itu mendapat pendidikan formal.

Maizatul Akmar Ramli, 34, yang ditemui di sini berkata, keluarga suaminya sudah melakukan pelbagai usaha bagi menjejaki Nurul Iman Abdullah, yang berusia awal 40an iaitu ibu kepada anak saudaranya, Nurul Jamilah Abdul Jamil, yang berusia lapan tahun.

"Nurul Jamilah dijaga oleh ibu mentua saya, Halimah Teh, 66, yang menetap di Sungai Buloh sejak ibu kanak-kanak itu menghilangkan diri pada 2013.

"Sebelum Nurul Iman pulang ke negaranya, kami sudah minta dia perbaharui pasport bagi mendaftarkan perkahwinan secara rasmi di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan membolehkan anak saudara saya memiliki sijil kelahiran seperti orang lain.

"Bagaimanapun, dia terus pulang ke Kemboja dan menghilangkan diri dan sehingga kini gagal dihubungi oleh keluarga suami walaupun mereka berusaha sedaya upaya menjejakinya.

"Kebetulan ayah Nurul Jamilah iaitu abang ipar saya, Abdul Jamil ketika itu sedang menderita penyakit jantung berlubang dan juga dijaga ibu mentua saya," katanya.

Beliau berkata, malangnya, Abdul Jamil sudah meninggal dunia tahun lalu.

Maizatul Akmar berkata, dia sekeluarga sudah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan anak saudaranya mendapat pendidikan sempurna dan tidak keciciran dalam pelajaran.

"Kami berusaha bermacam-macam cara selain meminta ibu kandungnya memperbaharui pasport, kami sudah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun tidak dapat membuat sijil kelahiran untuk Nurul Jamilah sebab tiada sijil nikah ibu ayahnya.

"Ketika berkahwin dulu, ibu ayah Nurul Jamilah bernikah dengan menggunakan perkhidmatan kadi di kampung tanpa didaftarkan secara rasmi, sebab itu tiada sijil nikah.

"Jadi, bagi menyelesaikan masalah ini, saya diminta ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya termasuk mengiklankan di akhbar mengenai pencarian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 6:27 PM