AKMAL Fikri dan Zuliana menunjukkan keadaan Muhammad Zafran yang memerlukan dana RM60,000 untuk pembedahan jantung berlubang di rumah mereka di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


“KAMI tiada pilihan lain kecuali mengharapkan sumbangan dan ihsan orang ramai," kata Zuliana Awang Kechik, 30, selepas anak lelakinya yang berusia dua tahun mengalami masalah jantung berlubang.

Zuliana berkata, anaknya, Muhammad Zafran Idham Akmal Fikri disahkan menghidap jantung berlubang sejak setahun lalu dan memerlukan kos pembedahan RM60,000.

Katanya, akibat penyakit itu, hati dan jantung Muhammad Zafran kini membengkak dan doktor berusaha mengelak berlakunya kerosakan injap atau jangkitan kuman ke paru-paru anak keduanya itu.

"Doktor pakar di sebuah hospital swasta di Georgetown menyarankan pembedahan dilakukan segera sebelum Ramadan ini kerana dikhuatiri penyakit dialami memberi kesan buruk kepada injap dan paru-paru Muhammad Zafran.

"Saya buntu dan tidak tahu di mana mahu mencari duit sebanyak itu memandangkan suami, Akmal Fikri Abd Rasid, 31, hanya memperoleh gaji cukup-cukup makan sebagai pemandu sedangkan pada masa sama, kami memerlukan wang bagi menampung kos rawatannya setiap bulan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, semalam.

Terdahulu kanak-kanak malang itu menerima kunjungan dan sumbangan wang tunai daripada Pengerusi Persatuan Gabungan Anak-Anak Seni Wilayah Utara (SUPERFRIENDS) Mohd Hafiz Maidinsa; wakil Pertubuhan Menyatupadukan Anak-Anak Negara Malaysia (MPAN) Asahri Azaman dan wakil Mydin Mall Bertam

Muhamad Ruzaini Nasharudin.

Zuliana berkata, sehingga kini mereka hanya memperoleh kutipan hasil sumbangan orang ramai berjumlah lebih RM1,000 dan menghantar permohonan bantuan bagi mengumpul dana berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP), baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya melancarkan tabung ihsan bagi membantu kutipan dana Muhammad Zafran sejak pertengahan Januari lalu dan akan menyambung kutipan seterusnya di Mydin Mall Bertam pada Mac ini.

"Alhamdulillah kutipan diperoleh hasil sumbangan orang ramai termasuk ahli SUPERFRIENDS, Nana Band Families, LY Band dan ramai lagi yang turut membantu menjayakan persembahan amal di Mydin Mall Bertam baru-baru ini.

"Walaupun sumbangan dana masih tidak mencukupi, diharap ia sedikit-sebanyak dapat meringankan beban keluarga terbabit terutama Muhammad Zafran yang perlu meneruskan dan merasai kehidupan riang seperti kanak-kanak lain di luar sana," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat (22-122-115812-1) atas nama Akmal Fikri Abd Rasid atau menghubunginya di talian 012-4527130.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 6:37 PM