FOTO Hiasan
Fazrik Kamarudin


DUA daripada tiga beranak maut, manakala seorang lagi parah akibat dirempuh lori ketika sedang mengganti tayar di Kilometer 19, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superitendan Sahimi Husin berkata, dalam kejadian 3.45 pagi itu, mangsa yang kesemua berasal dari Klang, Yu Sing Huat, 60, dan anak lelakinya, Yu Khang Ean, 30, maut di lokasi kejadian sementara anak perempuannya, Yu Yeh Suang, 31, parah.

"Ketika kejadian, Khang Ean, seorang Pegawai Perubatan Hospital Klang memandu Perodua Myvi bersama adiknya, Yeh Suang, berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang bahagian kanan kereta mereka pecah.

"Sing Huat yang memandu sebuah lagi Perodua Myvi kemudian berhenti untuk membantu anaknya menukar tayar.

"Kemudian ketika mereka sedang menukar tayar, datang sebuah lori dari arah belakang dan merempuh ketiga-tiga mangsa.

"Rempuhan mengakibatkan Sing Huat dan Khang Ean mengalami kecederaan serius pada kepala dan maut di lokasi kejadian sementara Yeh Suang parah di badan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan.

Sahimi berkata, pihaknya sudah menahan pemandu lori yang terbabit berusia 32 tahun berasal dari Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Katanya, waris mangsa kini sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:51 PM