DR Abd Halim
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Isu penyalahgunaan dadah bukan masalah domestik yang hanya dihadapi oleh negara ini saja malah seluruh dunia berdepan masalah itu sekali gus menuntut usaha berterusan menyelesaikannya secara menyeluruh.

Sejajar dengan objektif kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) termasuk pendekatan pemerkasaan komuniti bagi menangani dadah.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, dengan mengangkat tema ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ sempena Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini, kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) terus diperluaskan di 178 kawasan ‘panas’ dan berisiko tinggi di seluruh negara.

“Jika kita ingin menangani dadah ini, ia bukan tanggungjawab AADK saja, bukan juga tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kita perlu membabitkan komuniti kerana mereka lebih tahu demografi kejiranan mereka.

“Masyarakat di kawasan kejiranan lebih mengetahui di mana ‘port’ dadah, lokasi melepak anak muda dan kawasan yang cenderung untuk berlaku penyalahgunaan dadah. Jika kita membabitkan masyarakat, nisbah kejayaan akan meningkat. Formula ini yang kita ambil,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program secara konsisten secara berfokus dengan pembabitan kepemimpinan negeri dan daerah melalui kempen PDH itu menunjukkan penurunan jumlah penagih dadah dikesan.

Katanya, PDH mula diperkenalkan di 14 kawasan pada tahun 2016 sebelum diperluaskan ke 50 kawasan baru tahun lalu.

“Melihat tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat semakin meningkat, tahun ini AADK akan melaksanakan kempen ini secara menyeluruh membabitkan keseluruhan kawasan yang dikenal pasti iaitu 178.

“Secara amnya, bilangan penagih dikesan menunjukkan penurunan dalam perbandingan tempoh Januari sehingga September tahun 2016 dan 2017 sebanyak 38 peratus.

“Daripada perbandingan dalam tempoh itu, didapati penurunan sebanyak 39.4 peratus bagi status penagih baru, manakala peratusan yang dicatat bagi penagih berulang juga menurun sebanyak 33.8 peratus,” katanya ketika temubual eksklusif bersama Harian Metro di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, tahun ini juga, AADK bercadang mewujudkan Community Star Rating iaitu memberi pengiktirafan atau anugerah kepada komuniti yang cemerlang dan berjaya membanteras masalah sosial di kawasan mereka dalam kempen PDH.

Katanya, melalui cadangan itu, AADK akan menjalin kerjasama dengan kementerian dan jabatan terbabit untuk menentukan kriteria yang menjadi kayu pengukur pengiktirafan berkenaan.

Katanya, tahun ini juga AADK akan memfokuskan kepada Dasar Dadah Negara (DDN) yang sudah pun diluluskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 2017 yang diselaraskan oleh AADK.

“Dasar ini menetapkan kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan adalah di bawah bidang kuasa 10 kementerian utama dan 15 agensi serta jabatan kerajaan.

“AADK akan menjadi agensi penting dalam pelaksanaan dasar ini iaitu bertindak sebagai penyelaras bagi kerjasama dan usaha bersepadu semua pihak yang terbabit dalam pelaksanaan tindakan dan tanggungjawab membanteras gejala dadah.

“Sebagai permulaan, satu unit khas dikenali sebagai Intergrated Narcotic Task Force ditubuhkan dan kami juga sudah mengadakan perjumpaan pertama bagi membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, katanya, sempena sambutan Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini juga seramai 100 selebriti, artis dan pemimpin dipilih untuk menyebarkan kempen PDH melalui perkongsian video pendek di akaun media sosial masing-masing.

“Kita tahu mereka ini mempunyai ramai pengikut setia di Instagram, Facebook dan Twitter oleh itu mereka akan berkempen melalui medium berkenaan mengajak peminat dan pengikut memerangi dadah habis-habisan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:13 AM