KEADAAN kereta mangsa jenis Perodua Alza dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang remuk dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Labok yang mengakibatkan tiga maut ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Siti Nadzirah Che Mud

emel

“SAYA tak sangka gurauan hendak mati, jadi kenyataan," kata Tengku Anitawati Tuan Mat mengenai tingkah laku abang iparnya sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang, semalam.

Tengku Anitawati, 47, berkata abang iparnya, Shaikh Rahim Shaikh Abdullah, 56, berkata demikian ketika sedang berurut dengan anak saudaranya pada Sabtu lalu, tetapi dimarahi isterinya, Tengku Fariza Tuan Mat, 52.

Dalam kemalangan pada 12.30 tengah malam semalam, Perodua Alza yang dinaiki Shaikh Rahim bersama Tengku Fariza dan dua anak mereka, Siti Nur Alyaa Izzati , 23, bertembung pacuan empat roda, Mitsubishi Triton. sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka maut.

Seorang lagi anak perempuan Shaikh Rahim yang turut berada dalam kenderaan terbabit, Siti Nur Amanina, 21, mengalami parah dan dirawat di Hospital Kuala Krai manakala pemandu Mitsubishi Triton berusia 27 tahun hanya cedera dan menerima rawatan di Hospital Machang.

Tengku Anitawati berkata, kali terakhir dia bertemu ketiga-tiga mangsa ketika majlis perjumpaan keluarga pada Sabtu lalu di Kampung Kusial Baru, Tanah Merah.

Katanya, ketika ahli keluarga berkumpul, Shaikh Rahim meminta anak saudaranya mengurut kakinya yang mengalami masalah gout.

"Ketika itulah, dia kata dia dah nak mati, namun ungkapan itu kami menganggap sebagai gurauan. Tidak sangka kata-katanya itu menjadi kenyataan, malah turut meragut nyawa isteri dan anaknya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada perubahan yang dilihat pada mereka memandangkan keluarga itu sentiasa ceria dan suka bergurau dengan ahli keluarga yang lain.

"Mereka sekeluarga baru pulang dari majlis kenduri sepupu di Tanah Merah dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kadok," katanya.

Menurutnya, jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kusial Baru, Tanah Merah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

Berita berkaitan

Ajal 'jemput' tiga beranak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 2:27 PM