Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bh.com.my


SENARAI calon UMNO yang bakal ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) seimbang membabitkan calon muda dan berpengalaman, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mengesahkan senarai calon itu sudah diserahkan kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti untuk diteliti dan diputuskan.

"Saya berkeyakinan (senarai calon) muka baru dan lama adalah seimbang. Namun, kita ada cara berbeza sedikit yang mana kita pastikan yang dipilih adalah calon yang disukai rakyat dan bukannya yang disukai parti atau individu tertentu.

"Kita hendak rakyat menentukan siapa mereka pilih, untuk menjadi wakil mereka. Kita mahu calon terpilih adalah pilihan rakyat, seimbang muka lama, wanita, pemuda," katanya kepada media selepas program Jualan Ikan Separuh Harga di Presint 9, Putrajaya, hari ini.

Ditanya mengenai calon muka lama yang pernah tewas pada PRU sebelum ini dan berhasrat bertanding semula pada PRU-14, beliau berkata, peluang masih ada tetapi mereka perlu mengemukakan alasan kekalahan lalu dan bagaimana untuk memenanginya, kali ini.

"Mereka boleh mempromosi diri sendiri, tapi bukan kita yang minta dia tonjolkan diri, jadi perlu bersedia sekiranya tidak terpilih, terima kenyataan," katanya.


Tengku Adnan (dua kiri) bertemu penduduk PPR Pekan Kepong ketika lawatan proses pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat di PPR Pekan Kepong. FOTO Zunnur Al Shafiq

Katanya, UMNO mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan calon dalam pilihan raya selain tapisan oleh agensi tertentu seperti polis, Jabatan Insolvensi dan Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ditanya mengenai tindakan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA, Gerakan dan MIC yang sudah menyerahkan senarai calon dan mengumumkan calon mewakili parti masing-masing pada PRU-14 bagi kawasan tertentu berbanding UMNO, Tengku Adnan berkata, ia mungkin disebabkan jumlah calon dan kerusi bagi parti itu sedikit berbanding UMNO.

"Mereka (parti komponen) boleh umum tetapi kita akur kepada saranan Presiden agar ia tidak dilakukan hingga pengumuman rasmi calon dibuat apabila tiba masanya," katanya.

Terdahulu, mengulas program jualan ikan separuh harga, katanya, sejumlah tiga tan ikan antaranya pelaling, kerisi dan cencaru dijual masing-masing pada harga RM9 dan RM7 sekilogram.

"Selain itu, bagi menambah kelainan pada program kali ini, 750 ekor ayam turut disediakan yang dijual pada harga RM5 sekilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 7:29 PM