Suzianah Jiffar

Kota Kinabalu: Sebanyak 24 tapak bersejarah diwartakan sebagai Tapak Warisan Negeri di Sabah dalam usaha memartabatkan khazanah warisan, sekali gus menjadi produk pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata, antara bangunan itu ialah Bangunan Pejabat Pos Lama Kota Kinabalu yang kini dijadikan Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah dan Menara Jam Atkinson, di sini.

Selain itu katanya, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, Padang Merdeka Kota Kinabalu, Tugu Kota Mat Salleh di Tambunan dan Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna.

“Majlis Warisan Negeri juga sedang dalam proses untuk mewartakan tujuh lagi tapak bersejarah sebagai Tapak Warisan Negeri antaranya Stesen Keretapi Melalap, Tenom; Dewan Turnball di Maktab Sabah Kota Kinabalu; Tapak Maktab Perguruan Kent, Tuaran; dan Rumah Api Batu Tinagat, Tawau.

“Khazanah warisan ini adalah aset penting Sabah yang dapat kita bangunkan untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya ketika melancarkan Enakmen Warisan Negeri 2017 di Dewan GC Woolley, Jabatan Muzium, di sini, semalam.

RUMAH Panjang Murut antara rumah warisan budaya yang dipamerkan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datu Rosmadi Datu Sulai.

Masidi berkata, kerajaan negeri buat julung kali juga akan mengiktiraf individu yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu untuk diwartakan menerusi Enakmen Warisan Negeri 2017 yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, tahun lalu.

“Ini bagi memastikan mereka atau individu itu boleh menjadi tempat rujukan seperti adat resam. Kita mahu ilmu dan pengetahuan mereka dapat dikongsikan kepada generasi baharu agar ilmu yang mereka miliki tidak pupus begitu saja,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri tidak mengambil hak milik sesebuah bangunan yang dijadikan sebagai tapak warisan, sebaliknya kekal kepada pemilik asal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:30 AM