PENGUNJUNG meluangkan masa melawat gerai pameran di Ekspo Muafakat Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Adie Suri Zulkefli; Petah Wazzan Iskandar; Muhaamad Hafis Nawawi; Muhammad Mustakim Ramli dan Embun Majid


EKSPO Muafakat Kedah 2018 mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 10,000 orang mengunjunginya selepas tiga jam dibuka secara rasmi, hari ini.

Kerajaan negeri mensasarkan 500,000 pengunjung ke ekspo yang julung-julung kali diadakan itu.

Ekspo yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Program itu yang akan berlangsung hingga 3 Mac ini, menghimpunkan 199 jabatan kerajaan dan swasta yang diletakkan dalam 20 kelompok kluster.

Antara kluster yang ditampilkan ialah Pameran DiRaja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistic, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan ‘Petting Zoo’.

Melalui ekspo itu, kerjasama semua jabatan dan agensi digembleng di bawah satu bumbung melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu semua jabatan diberi peluang untuk mempromosi perkhidmatan teras jabatan dan berpeluang untuk memberi perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

Ekspo yang julung kali dianjurkan itu menampilkan pencapaian kerajaan negeri serta perancangan untuk semua rakyat Kedah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia turut menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya temu duga kerja, peluang melanjutkan pelajaran, penjualan hartanah, jualan murah untuk barangan keperluan asas, pameran dan jualan produk usahawan tempatan pada harga yang istimewa.

Antara tarikan utama adalah jualan 6,000 unit hartanah di seluruh Kedah membabitkan agensi kerajaan dan pemaju swasta, yang ditawarkan pada harga diskaun.

Pegawai Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan juga akan mengambil bahagian untuk memberi khidmat nasihat kepada pengunjung yang masih mencari rumah idaman.

Turut ditampilkan adalah usahawan dalam pelbagai bidang seperti pengusaha trak makanan dan makanan popular bagi membuka ruang kepada usahawan tempatan mempromosi produk serta perkhidmatan mereka.

Ekspo ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan serta selebriti popular.

Pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk rumah, kereta dan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 8:15 PM