LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Farah Suhaidah Othman


POLIS menahan tiga lelaki susulan penemuan mayat lelaki dalam keadaan terbaring dalam hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, kelmarin.

Tiga suspek yang juga rakan mangsa berusia antara 26 hingga 39 tahun ditahan pada jam 9.30 pagi semalam di Kupang, Kedah.

Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat kesan tembakan dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Mangsa yang dipercayai tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu ditemui orang awam 4 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 24 tahun bersama tiga suspek memburu binatang di hutan, Ahad lalu dengan menggunakan senapang patah buatan sendiri dipercayai milik seorang daripada penduduk kampung berusia 65 tahun yang memiliki lesen senjata api.

Katanya, hasil soal siasat mendapati seorang daripada suspek melepaskan tembakan berikutan menyangkakan mangsa adalah seekor kijang.

“Ketika berburu, mereka berpecah dan seorang daripada suspek melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa adalah seekor kijang.

“Hasil soal siasat mendapati suspek panik dengan kejadian itu sebelum meninggalkan mayat mangsa di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, susulan itu polis merampas senapang patah dan peluru digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman lima hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Adik suka pikat burung'

Jumpa mayat dalam hutan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:18 PM