ANGGOTA Jabatan Imigresen Kedah membuat pemeriksaan di premis kafe yang menggunakan khidmat GRO warga asing ketika serbuan Ops Gegar di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, awal pagi tadi. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee


RANCAK menari bersama pelanggan tanpa menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Kedah, dua wanita warga Vietnam antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Op Gegar di kafe Taman Pekan Baru, Sungai Petani, tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, dalam serbuan selama 3 jam yang berakhir 2 pagi itu, 17 anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan ke atas 11 pengunjung termasuk pekerja dari pelbagai warganegara di premis terbabit.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan terdapat tiga wanita warga Thailand bertindak melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi cubaan terbabit gagal kerana pihaknya sudah membuat kepungan.

"Malah, ada yang leka menari bersama pelanggan sehingga tidak sedar dengan kehadiran pihak penguat kuasa dalam premis kafe ini.

"Hasil pemeriksaan awal, kami dapati dua wanita warga Thailand dan dua wanita warga Vietnam melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial, manakala seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya di sini.

Zuhair berkata, lima wanita berusia antara 26 dan 38 tahun itu akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 10:31 AM