Tiga remaja perempuan diselamatkan selepas empat jam sesat di Apek Hill Cheras Awana, jam 8 malam tadi. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


TIGA remaja perempuan masing-masing berusia 17 tahun sesat hampir empat jam ketika mendaki Apek Hill Cheras Awana, 8 malam tadi.

Ketiga-tiganya gagal mencari jalan turun sebelum berjaya di selamatkan oleh anggota bomba pada 11.13 malam yang membuat pencarian hampir empat jam bagi mengesan mereka.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang daripada mangsa pada 8.19 malam memaklumkan mereka tersesat.

Katanya, sebaik menerima panggilan, sebuah pasukan pencari seramai 23 orang dikerahkan ke lokasi bagi mencari mereka.

"Ketiga-tiganya dijumpai pada 11.13 malam dalam keadaan keletihan.

"Ketika dijumpai, mereka tersesat hampir satu kilometer dari laluan masuk utama kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Alimaddia berkata, cuaca gelap dipercayai menjadi punca ketiga-tiga remaja berkenaan panik dan tidak dapat mencari laluan keluar.

Katanya, mereka diserahkan kepada ibu bapa masing-masing sebaik berjaya dibawa keluar sekitar jam 11.20 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 10:38 AM