GAMBAR hiasan

PERKELAHAN 12 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 4 di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas di air terjun Lata Kulim, Kampung Kenyat di Gerik, hari ini.

Mangsa ialah Woon Hou Yin, 17, yang juga cucu kepada Ketua MCA Bahagian Gerik, Datuk Woon Tuck Hoong dan rakannya, Low Yong Kang, 16.

Rakan mangsa, Chee Jia Ding, 18, berkata, mereka semua pergi ke air terjun itu selepas waktu persekolahan untuk berkelah dan mandi.

"Kami ke air terjun berkenaan jam 12.20 tengah hari dengan menunggang motosikal selepas pulang dari sekolah disebabkan sekolah habis awal hari ini kerana sekolah ada Mesyuarat Agung PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru).

"Sebaik tiba jam 1.30 tengah hari kami mula mandi sebelum Woon tergelincir dari batu dan terjatuh 15 minit selepas itu, dia yang tidak pandai berenang kemudiannya terkapai-kapai dan lemas," katanya yang ditemui di Hospital Gerik di Gerik, hari ini.


Low (kanan) turut lemas dipercayai semasa cuba menyelamatkan Woon (kiri). FOTO Ihsan Bomba

Chee berkata, dia dan rakan-rakan yang lain cuba membantu mangsa namun tidak berjaya disebabkan arus terlalu deras serta air yang dalam.

Menurutnya, mereka yang panik kemudiannya mendapati seorang lagi rakan mereka iaitu Low juga tiada di lokasi perkelahan dan mengesyakinya turut lemas ketika membantu Woon sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi meminta bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.05 petang sebelum 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta berjalan kaki kerana lokasi kejadian berada dua kilometer (KM) dari jalan utama dan tidak boleh dilalui oleh jentera bomba.

"Anggota kemudiannya menjalankan kerja mencari dan menyelamat dan berjaya menemui mangsa pertama jam 3.10 petang manakala mangsa kedua ditemui jam 3.28 petang.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan jam 4.45 petang," katanya.

Sementara itu, Tuck Hoong berkata, cucunya tidak pernah pergi berkelah atau mandi di tempat kejadian sebelum ini dan dia sekeluarga terkejut apabila menerima berita cucunya itu lemas ketika berkelah bersama rakan.

"Ini kali pertama cucu saya pergi berkelah dan mandi, dia dipercayai berpakat bersama rakan-rakannya untuk berkelah dan mandi di air terjun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 9:41 PM