Mohd Nazllie Zainul

BERGELUMANG dengan selut dan lumpur menjadi rutin harian Rizal Randi, 19, yang menjadikan aktiviti mencari serta mengutip lokan sebagai sumber pendapatan.

Mengambil upah mengutip lokan sejak tiga tahun lalu, Rizal berkata, walaupun terpaksa mengharungi lumpur tebal namun, kawasan paya bakau sudah seperti 'padang permainan' setiap hari demi mencari rezeki bagi membantu keluarga.

Keluar mencari lokan bersama adik lelaki serta lima lagi rakan dari 6.30 pagi sehingga 3 petang, anak sulung daripada 13 beradik itu pergi ke beberapa lokasi sekitar kawasan paya bakau di pinggir bandar raya ini serta Sepanggar untuk mengumpul makanan laut itu.

PENCARI lokan membawa hasil kutipan di kawasan hutan paya bakau, di Kampung Rampayan Laut Inanam, Kota kinabalu. FOTO Lano Lan
PENCARI lokan membawa hasil kutipan di kawasan hutan paya bakau, di Kampung Rampayan Laut Inanam, Kota kinabalu. FOTO Lano Lan

“Rutin harian kami bangun 5.30 pagi sebelum bersiap dan menunggu majikan datang menjemput di rumah.

“Lokasi pencarian lokan selalunya ditentukan majikan kerana adakalanya hasil lokan di sesebuah kawasan ini tidak menentu,” katanya ketika ditemui di kawasan paya bakau Kampung Rampayan, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Rizal berkata, dia mampu memperoleh kira-kira 140 kilogram (kg) lokan bersamaan tujuh baldi dengan berat 20 kg setiap baldi dalam sehari jika lokasi pencarian itu adalah lubuk lokan.

Menurutnya, mereka dibayar mengikut jumlah kutipan lokan yang diperoleh iaitu RM20 bagi setiap 20kg.

PENCARI lokan membawa hasil kutipan di kawasan hutan paya bakau, di Kampung Rampayan Laut Inanam, Kota kinabalu. FOTO Lano Lan
PENCARI lokan membawa hasil kutipan di kawasan hutan paya bakau, di Kampung Rampayan Laut Inanam, Kota kinabalu. FOTO Lano Lan

Berbeza dengan sahabatnya, walaupun baru saja sebulan bekerja mencari lokan, namun ia bukan halangan buat Tino Yassin, 17, mengambil upah untuk mengutip hidupan bercengkerang itu.

Tino berkata, sebelum ini dia memang sudah biasa membantu bapa menangkap ketam bakau serta mencari lokan di kawasan bakau tetapi aktiviti itu hanya dilakukan secara sambilan saja.

Dia yang berasal dari Kampung Delima di sini berkata, kerja mengutip lokan bukan semudah disangka.

“Kita memerlukan tenaga yang banyak kerana terpaksa mengharungi selut dan lumpur yang agak dalam.

“Selain itu, kita berdepan risiko dipatuk atau disengat haiwan berbisa termasuk ular dan lipan, selain kemungkinan terpijak tunggul tajam dan duri,” katanya.

Sementara itu Johnny Liew, 40, berkata, dia menjadi pembekal lokan kepada peniaga gerai di kawasan Salut, Tuaran yang cukup terkenal dengan hidangan lokan bakar, puding kelapa dan kelapa bakar dalam kalangan penduduk tempatan serta pengunjung luar.

Liew berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya 200 kg lokan sehari untuk dibekalkan kepada lebih 10 peniaga gerai makan sekitar Salut malah permintaan bertambah dua kali ganda apabila menjelang musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah.

“Salut sememangnya terkenal dengan hidangan lokan bakar dalam kalangan pengunjung tempatan atau pelancong asing setiap kali berkunjung ke Kota Kinabalu.

“Tidak hairanlah permintaan tinggi daripada peniaga semakin bertambah bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berkunjung ke gerai masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:25 PM