Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman penjara setahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM800, tahun lalu.

Abdul Razak Mohd Diah, 38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang bertugas sebagai Pengurus Cawangan Syarikat SDS Bakeries Sdn Bhd diamanahkan wang tunai RM805.42 hasil jualan dari Pasar Mini Mohd Salleh, Pasar Mini Kualiti Mekar dan Kedai Runcit Solaris didapati menyalah guna wang terbabit dan melakukan pecah amanah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di syarikat berkenaan sekitar 21 hingga 28 Januari 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.


Abdul Razak diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Faiezad Razali merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan mengambil kira kesalahan pertama dilakukan.

“Tertuduh juga menerima akibat daripada perbuatannya apabila diberhentikan kerja dan kini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,800, selain menanggung isteri serta tiga anak dan ibu yang sakit tua,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara setahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:40 AM