SENAPANG angin buatan sendiri yang dirampas daripada suspek, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 11 biji pil dipercayai Yaba dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lak Lok, Jertih, Besut, hari ini.

Turut dirampas, selaras senapang angin buatan sendiri yang ditemui dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, serbuan terhadap rumah lelaki, 33, terbabit dilakukan berdasarkan maklumat awam pada 1.10 tengah hari.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota Task Force Balai Polis Jertih ke lokasi bagi melakukan serbuan.

"Ketika serbuan, lelaki terbabit yang ketika itu berada di ruang tamu gagal melarikan diri dan kita menahannya untuk pemeriksaan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada tubuh mangsa menemui 11 biji pil merah dipercayai Yaba bernilai RM110 yang disorok dalam poket seluar yang dipakainya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui selaras senapang angin buatan sendiri yang diletakkan di atas meja tepi pintu bilik tidur di rumah itu.

"Saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, suspek yang memiliki rekod jenayah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Siasatan turut dilakukan bagi mengenal pasti tujuan suspek memiliki senjata berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 11:08 PM