Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim. FOTO NSTP
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI ditahan selepas mengugut untuk mencederakan pemilik rumah sewa ketika mangsa ke apartment di Jalan Bundusan, Penampang, untuk meminta duit sewa, semalam.

Susulan kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemilik rumah berusia 35 tahun membuat laporan polis sebelum suspek diberkas.

Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai jurujual datang ke rumah berkenaan untuk mengutip sewa bilik yang mana rumah itu adalah miliknya.

"Sebaik tiba di rumah itu, seorang lelaki tidak dikenali menegur dan bertanyakan siapa dan apa tujuan mangsa datang ke sini (rumah).

"Mangsa kemudian menjawab bahawa dia adalah tuan rumah sebelum suspek memarahi dan mengugut untuk memecahkan kepala mangsa dengan pisau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, suspek berusia 28 tahun turut mengajak mangsa keluar dari rumah untuk bergaduh.

"Pada hari yang sama, 5.30 petang, polis menahan suspek yang terbabit dalam kes ugutan jenayah berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 3:05 PM