GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini, memerintahkan seorang anggota polis membela diri atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya yang ditemui mati dengan kesan tembak di kepala, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Koperal Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 37, dari Cawangan Khas Bukit Aman.

Mahkamah dalam keputusannya mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan Wan Masrul Faiezie (responden) daripada pertuduhan membunuh Lans Koperal T Thivakar, 37.

Mahkamah juga memerintahkan responden ditahan reman semula sehingga kes itu selesai.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Mac ini.

Pada 30 Mac 2017, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Wan Masrul Faiezie dari pertuduhan membunuh Thivakar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur antara jam 4.11 petang hingga jam 4.50 petang, 4 Februari 2014.

Bagi perbuatan itu, Wan Masrul Faiezie didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Ruzaini Zulkfili

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:04 PM