MOHD Syaffwan bersama pasukan Bomba MOSAR bantu menggendong pendaki turun dari Gunung Kinabalu ke Pondok Timpohon. FOTO Lano Lan
Junaidi Ladjana; Fardy Bungga dan Avila Geraldine


BUKAN saja menanggung risiko akibat gegaran susulan, malah usaha membawa turun 130 pendaki perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Itu tugasan anggota penyelamat termasuk pasukan bomba yang ditugaskan menjalankan operasi menyelamat pendaki serta petugas yang berada di Laban Rata, Gunung Kinabalu susulan gempa bumi di Ranau, malam tadi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Mohd Syaffwan Afifi Jamal, 23, yang bertugas membantu mengangkat mangsa keletihan ketika operasi membawa keluar pendaki Gunung Kinabalu, awal pagi tadi berkata, dia dan pasukannya terpaksa membawa pendaki keluar dalam tempoh singkat berikutan kebimbangan berlaku gempa susulan.

Katanya, dia terpaksa bergilir-gilir mengangkat mangsa yang keletihan setiap 10 minit bersama rakannya sejauh hampir dua kilometer untuk sampai ke Pondok Timpohon.

“Kami terpaksa berulang-alik lebih dua jam untuk membawa keluar pendaki sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan. Perasaan takut memang ada, namun kami sentiasa berwaspada,” katanya.

Sementara itu, malim gunung, Alex Clarence, 22, menyuarakan kebimbangan mata pencarian mereka terjejas akibat penutupan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu.

Katanya, ini berikutan pengalaman ketika gempa bumi tiga tahun lalu yang menyebabkan mereka hilang mata pencarian hampir lima bulan.

“Setakat ini, kami belum diberitahu sama ada banyak runtuhan atau kerosakan berlaku. Saya harap aktiviti pendakian ini dibuka semula dalam tempoh terdekat," katanya.

Seorang lagi malim gunung, Luke Kabun, 38, berkata pengalaman dilalui ketika gempa bumi hampir tiga tahun lalu, membolehkan dia memastikan enam pelancong Korea Selatan dibawah jagaannya berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama seorang rakan sekerjanya berehat di penginapan di Laban Rata sebelum dikejutkan dengan gegaran kuat akibat gempa bumi.

"Saya bersama rakan kemudian bergegas keluar dan meluru ke bilik pendaki dibawah jagaan kami. Rakan saya kemudian membawa semua warga Korea Selatan itu ke kawasan helipad dan selepas mendapat arahan, kami membawa mereka turun ke Pondok Timpohon," katanya.

Berita berkaitan

Tiga gegaran susulan

Katil bergegar di Laban Rata

[UPDATE] Pendaki Gunung Kinabalu selamat turun

130 pendaki turun malam ini

'Rumah bergegar, lampu bergoyang'

Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 2:48 PM