OPERASI penginapan tidak ubah seperti hotel lengkap dengan servis bilik.
BILIK yang diubah suai menjadi bilik muzik.
Safeek Affendy Razali dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Siapa sangka mereka mampu memperoleh untung besar dengan menjalankan kegiatan menyewa pangsapuri atau kediaman inap mewah di pusat ibu kota.

Itu antara kegiatan seramai 28 warga Bangladesh yang dikesan menjadi ejen dan menjalankan perniagaan sewaan rumah penginapan atau homestay dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Imbi di sini, malam kelmarin.

Serbuan bermula jam 11.30 malam itu dilakukan Unit Quick Response Team (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa bersama Bahagian Operasi JIM Putrajaya susulan pendedahan media sebelum ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, siasatan ke atas 28 individu yang ditahan itu membongkar kegiatan mereka menjalankan perniagaan penginapan tanpa memiliki kebenaran sah.

Menurutnya, suspek turut disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit dan pas sah.

Beliau berkata, individu yang ditahan adalah warga Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai ejen, pengurus syarikat dan rakan kongsi perniagaan.

“Pemeriksaan juga mendapati lima syarikat yang menjalankan perniagaan ini dimiliki warga negara asing. Mereka dipercayai menyewa secara jangka panjang dari pemilik sebenar unit pangsapuri berkenaan.

“Setiap satu pengusaha mempunyai hampir 20 unit pangsapuri dan mengiklankan lokasi tempat penginapan ini di media sosial dan laman web perhotelan dengan harga serendah RM150 hingga RM250,” katanya.

Mustafar berkata, hasil serbuan itu, pihaknya merampas wang tunai sebanyak RM29,000 dipercayai hasil sewaan pangsapuri berkenaan, kad akses dan pelbagai dokumen berkaitan sewaan pangsapuri dan kediaman.

“Malah semasa pemeriksaan dalam pejabat dan beberapa unit kediaman, pihak JIM menemui kelengkapan servis bilik seperti tuala mandi, sabun, berus gigi serta troli beg yang lazimnya disediakan dalam setiap khidmat perhotelan.

“Selain itu beberapa lelaki warga Bangladesh ini turut ditugaskan sebagai pengemas atau pencuci bilik sebelum dan selepas dimasuki pelanggan mereka,” katanya.

Pada 3 Februari lalu, media mendedahkan kegiatan sekumpulan warga Bangladesh yang menjalankan perniagaan rumah penginapan.

Kumpulan berkenaan disyaki tidak mendaftarkan perniagaan itu dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atau membayar warga tempatan untuk menjadi ‘proksi’ syarikat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 10:34 AM