ANGGOTA polis menahan suspek yang dipercayai memukul seorang penjual ais krim warga Pakistan berusia 40-an di Ulu Bendul, Kuala Pilah. FOTO ihsan polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya
cnews@nstp.com.my


LIMA lelaki ditahan polis kerana memukul penjual ais krim warga Pakistan hingga cedera di Ulu Bendul, Kuala Pilah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, semua suspek berusia 22 hingga 30 tahun ditahan di sebuah kedai makan di Kampung Terusan Juasseh, Kuala Pilah, 7.15 malam.

Katanya, ketika kejadian 6.15 petang, kelima-lima suspek yang menaiki dua lori singgah di pusat rekreasi di Ulu Bendul untuk mandi dan ternampak mangsa menjual ais krim dengan motosikal.

"Mangsa berusia 40-an dibelasah dengan topi keledar dan loceng besi hanya kerana lambat selepas dipanggil oleh suspek sehingga menerima beberapa jahitan di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 12:19 PM