SUZAIMI (tengah) memeriksa kereta Perodua Kancil yang ditemui semula, hari ini. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
Mohamed Sahidi Yusof
cnews@nstp.com.my


POLIS menumpaskan sebuah kumpulan dipercayai bergiat aktif dalam beberapa kes curi kenderaan apabila menemui semula lapan Perodua Kancil menerusi Ops Lejang dalam tempoh seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sebahagian besar kenderaan dicuri itu dilaporkan hilang di Kelantan dan Setiu, Terengganu sejak setahun lalu.

Berikutan itu, katanya, polis turut menahan lima suspek termasuk dua wanita berusia 30 hingga 51 tahun disyaki anggota kumpulan berkenaan.

“Hasil intipan dan risikan, kita melancarkan beberapa serbuan sebelum menemui semula kereta Perodua Kancil terbabit di Kampung Bukit Panau, Kampung Gual Ipoh, Kampung Batu Gajah dan Kampung Batang Merbau.

“Modus operandi kumpulan itu dengan mensasarkan kereta terbabit kerana komponennya mempunyai permintaan tinggi di pasaran gelap," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, hari ini.

Katanya, polis percaya dapat menjejaki saki baki ahli kumpulan terbabit dalam masa terdekat.

“Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

Katanya, berikutan itu orang ramai dinasihatkan supaya meninggalkan kenderaan masing-masing di kawasan selamat bagi mengelak kejadian curi terus berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:32 PM