ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat  Shahrul Naim  untuk diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mayat Shahrul Naim untuk diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang.
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Nelayan yang hilang sejak Isnin lalu, ditemui lemas di perairan Pasir Panjang, jam 9.40 pagi semalam.

Mangsa, Shahrul Naim Mohamad Sukor, 38, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan berseorangan.

Mayat ditemui terapung oleh pasukan Bomba dan Penyelamat pada kedudukan 20 kilometer dari Pantai Redang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum itu menggerakkan semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 8 pagi.

“Kami terpaksa menangguhkan pencarian jam 8 malam kelmarin kerana sudah gelap.

“Pagi ini (semalam), empat anggota diketuai Komander Operasi Tengku Muhammad Iqbal Tengku Abu Bakar menggunakan bot penyelamat menyusuri perairan berkenaan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, anggota bomba turut dibantu enam nelayan tempatan bersama tiga bot dalam pencarian itu.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Tali Air Enam, di sini, diserahkan kepada polis jam 10.40 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang bagi bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:20 AM