KEADAAN orang ramai yang memenuhi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
Nursyahirah Marzuki


PENUMPANG pesawat dinasihatkan tiba awal di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan bagi mengelakkan kesesakan terutama sepanjang musim cuti sekolah ini.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan, hari ini berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah penumpang di kedua-dua lapangan terbang termasuk klia2 berikutan musim cuti sekolah yang bermula esok.

“Penumpang juga disaran menggunakan pengangkutan awam seperti perkhidmatan Express Rail Link (ERL) untuk ke lapangan terbang sama ada dari KL Sentral atau mana-mana stesen lain termasuk Putrajaya dan Salak Tinggi.

“Malah, mereka juga dinasihatkan menggunakan kemudahan automatik yang disediakan seperti kiosk daftar masuk dan kaunter bagasi layan diri untuk mengelakkan kesulitan," katanya.

Katanya, penumpang juga perlu meletakkan kenderaan masing-masing di tempat letak kereta jangka pendek atau panjang yang disediakan MAHB.

“Selain itu, mereka juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan bas di terminal utama berbanding menggunakan aerotrain dan penumpang boleh mendapatkan bantuan daripada duta lapangan terbang kami," katanya.

Terdahulu, tinjauan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia di balai berlepas antarabangsa KLIA mengalami kesesakan pada awal pagi tadi.

Difahamkan, kesesakan itu adalah perkara biasa yang berlaku akibat peningkatan penumpang terutama apabila tibanya musim cuti sekolah.

Penumpang Hanizah Ahmad Khusairi, 58, berkata dia dan keluarga sudah melakukan perancangan rapi untuk bercuti di Hong Kong.

“Kami akan bercuti di luar negara dan sudah pasti perancangan awal perlu dilakukan terutama tiba awal di lapangan terbang bagi memastikan tiada sebarang kesulitan yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 8:48 PM