NOLEE Ashilin (empat kanan) menyambut penumpang pertama dari Medan sempena program penerbangan semula laluan antarabangsa Medan-Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


LAPANGAN Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) mengaktifkan semula laluan penerbangan antarabangsa Medan-Ipoh bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penerbangan itu diaktifkan semula selepas dihentikan sejak 2015.

“Ini adalah satu usaha yang sangat baik kerana ia menambah satu lagi laluan antarabangsa Ipoh-Medan.

“Kerjasama ini memperlihatkan perkembangan positif kedua-dua negara berjiran dalam sektor pelancongan dan pelbagai perkara lain” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut penumpang program FAMTrip sempena penerbangan semula pesawat Malindo Air di LTSAS, Ipoh.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di Sumatera, Indonesia TW Harsono Pane dan Pengurus Jualan Lion Air Medan Fazmir Ritonga.

Nolee Ashilin berkata, ia juga satu daripada hasil selepas lawatan kerja Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Medan dan Jakarta pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri melihat potensi besar mengembangkan industri pelancongan khasnya pelancong dari negara jiran.

“Justeru, kita mengharapkan semua pihak memainkan peranan dalam menyediakan pakej dan perkhidmatan lebih kreatif kepada pelancong yang datang daripada Medan atau Sumatera.

“Kita mengharapkan dengan adanya laluan penerbangan ini juga dapat menambahkan bilangan dan limpahan pelancong Indonesia yang datang melalui LTSAS,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 9:39 PM