Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiga lelaki ditahan bersama dadah dan sepucuk pistol dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Kemahang 2, Tanah Merah, Jumaat lalu.

Serbuan jam 6 petang itu menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 34 dan 40 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ketika serbuan, sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang berkenaan.

Katanya, berlaku pergelutan dengan lelaki itu ketika dia diberkas dan pada masa yang sama, polis turut menahan dua lagi lelaki termasuk warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis air ketum, daun ketum dan ubat batuk bernilai RM100 serta sepucuk pistol bertulis Stoeger Couger 8,000 Beretta bersama satu kelopak bertulis Mod 8,000 9 Para mengandungi dua peluru.

“Soal siasat, mereka mengaku senjata api diperoleh dari rakannya warga Thailand dan siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti tujuan ia disimpan.

“Dadah yang dirampas diperoleh daripada pembekal tempatan dan daun ketum dibeli dengan harga RM50 sebelum diproses menjadi air ketum dan dijual RM15 sebotol,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.


HASANUDDIN (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas.

Beliau berkata, tiga lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menurutnya, berdasarkan statistik dari 2016 hingga 16 Mac tahun ini, pihaknya berjaya merampas sebanyak 49 pistol.

“Pada 2016 kita merampas 21 pistol, tahun lalu 18 pucuk pistol dan tahun ini 10 pistol lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:31 AM