Syalikha Sazili
syalikha@bh.com.my


FENOMENA yang berlaku setiap tahun pada 21 Mac adalah perkara biasa dan tidak memberi kesan terhadap suhu dan cuaca ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Alui Bahari berkata, berdasarkan rekod lampau, suhu maksimum harian boleh mencapai antara 37 hingga 38 darjah celsius sekiranya kurang dilitupi awan.

Katanya keadaan yang sama dijangka berlaku pada tahun ini terutamanya di negeri Utara Semenanjung.

"Ekuinoks berlaku apabila matahari melintasi garisan Khatulistiwa dan berada tepat padanya. Ini bermaksud negara tropika mempunyai siang dan malam dalam jangka masa yang sama iaitu 12 jam.

"Disebabkan kita juga kini berada di penghujung Monsun Timur Laut maka taburan hujan berkurangan dan cuaca panas dan kering terutama di Utara Semenanjung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alui juga berkata suhu tidak akan mencecah sehingga 40 darjah celsius seperti didakwa sesetengah pihak kerana tiada fenomena El Nino, sebaliknya cuma cuaca akan panas dan kering dalam tempoh panjang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad, berkata Ekuinoks berlaku dua kali setahun iaitu pada 21 Mac dan 23 September.

"Ekuinoks pada bulan Mac menandakan mulanya musim bunga di hemisfera utara dan musim luruh di hemisfera selatan.

"Manakala Ekuinoks pada bulan September pula menandakan musim luruh di hemisfera utara dan musim bunga di hemisfera selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 12:38 PM