GEDUNG Uniqlo pinggir jalan menawarkan pengalaman membeli belah baru buat pelanggannya.
GEDUNG Uniqlo pinggir jalan menawarkan pengalaman membeli belah baru buat pelanggannya.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Bangkok: Bangkok menjadi bandar raya pertama di Asia Tenggara menyaksikan pembukaan rasmi rangkaian gedung pakaian jenama popular dari Jepun, Uniqlo dengan konsep gedung di pinggir jalan di Phatthanakan, di sini, semalam.

Pembukaan gedung pinggir jalan itu sekali gus menandakan sejarah penting perkembangan Uniqlo di rantau ini dengan pengenalan model perniagaan yang menjadi tunggak utama di Jepun.

RUANGAN luas untuk suasana membeli-belah yang menyenangkan.
RUANGAN luas untuk suasana membeli-belah yang menyenangkan.

Cawangan yang terletak di Phatthanakan Road itu bertujuan memenuhi permintaan di kawasan berkenaan dengan kapasiti kira-kira 700,000 penduduk selain kedudukan strategik yang menghubungkan bahagian timur ibu negara Thailand ke pusat bandarnya.

Thailand akan menjadi pasaran keempat bagi jenama itu membuka gedung pinggir jalan selepas Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Kedai baru itu juga akan lebih memudahkan dan memberi pengguna pengalaman membeli-belah baru termasuk acara pemasaran setempat.

HATASE (kiri) dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Fast Retailing Co Ltd, Takenori Motoda ketika sidang media.
HATASE (kiri) dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Fast Retailing Co Ltd, Takenori Motoda ketika sidang media.

Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo Asia Tenggara Satashi Hatase berkata, Asia Tenggara kini adalah enjin pertumbuhan utama untuk jenama itu di seluruh dunia.

Katanya, syarikat itu komited membawa pengalaman, kualiti dan perkhidmatan unik Uniqlo kepada lebih ramai pelanggan dan komuniti di rantau ini menerusi gedung pinggir jalan yang berjaya bukan saja di Jepun tetapi juga di Korea dan Taiwan.

"Sejajar falsafah gedung pinggir jalan syarikat ini, pembukaan Uniqlo Phatthanakan bertujuan meningkatkan daya hidup kawasan tempatan, menjadi hab gaya hidup dan budaya serta pemacu pembangunan ekonomi tempatan.

"Syarikat juga berharap gedung itu akan merangsang komuniti di seluruh rantau ini, memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membeli-belah, meningkatkan nilai hartanah dan menarik perniagaan baru dan mapan di sekitar setiap lokasi yang didirikan," katanya pada upacara pembukaan cawangan pertama gedung pinggir jalan di Phatthanakan, semalam.

RUANGAN menunggu turut disediakan.
RUANGAN menunggu turut disediakan.

Barisan produk lengkap termasuk pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak dipamerkan di kedai itu yang mempunyai ruang lantai kira-kira 1,440 meter persegi dan 60 petak tempat letak kereta.

Jenama berpangkalan di Jepun itu memiliki 35 cawangan di Thailand sejak kemunculan pertamanya di negara itu pada 2011 dengan menyaksikan jualan tertinggi di seluruh rantau ini.

Di Jepun pula, gedung pinggir jalan pertamanya dibuka pada 1985 dengan kini hampir separuh daripada lebih 800 cawangan Uniqlo di situ dibangunkan dengan konsep itu.

Hatase berkata, syarikat itu turut berhasrat membuka gedung berkonsep pinggir jalan di Malaysia dan Filipina, namun pihaknya masih belum menetapkan jangkaan pembukaannya yang kini masih dalam peringkat perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 6:49 PM