Pegawai dan anggota SPRM membawa barang yang disita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Sebanyak 22 beg tangan berjenama mewah milik isteri bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd, 58, dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Semua beg yang ada sijil pengesahan keaslian itu dikemukakan saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Antara jenama beg dikemukakan untuk ditandakan sebagai bahan bukti kes ialah Louis Vuitton, Christian Louboutin, Prada Milano, Fendi Roma, Chanel, Gucci, Christian Dior dan Salvatore Ferragamo.

Asmawi mengesahkan semua beg itu diambil ketika siasatan kes itu.

Semua beg dibawa dan ditunjukkan setiap satu kepada hakim sebelum dibuat penandaan oleh jurubahasa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin memaklumkan ada lebih banyak beg dan jam dibawa serta dikemukakan kepada mahkamah untuk penandaan barang bukti.

Mahkamah menetapkan empat hari bermula 16 April depan untuk sambung bicara.

Husmarudin juga memaklumkan pada tarikh akan datang, pihaknya mengemukakan beberapa kereta disita milik Otman dan dua lagi tertuduh.


OTMAN

Pendakwaan turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aaron Chelliah.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:38 AM