Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KERAP menunaikan solat sunat Tahajjud selain berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis, itu yang diamalkan warga emas berusia 100 tahun, Wok Osman apabila menjadikan dua ibadah berkenaan sebagai ‘rahsia’ untuk dia kekal sihat.

Pada usia satu abad, dia bukan sahaja tidak menghidap sebarang penyakit kronik malah masih mempunyai penglihatan yang tajam serta memiliki daya ingatan yang cerdas.

Menurut ibu kepada 12 anak itu, walaupun kekuatan fizikalnya semakin lemah disebabkan faktor usia, dia tidak meninggalkan amalan wajib dalam Islam iaitu solat fardu lima waktu.

Wok yang menetap di perkampungan Tanjung Api, Kuantan, bersama anak lelakinya, Razali Muhamad, 60, memaklumkan anak ketujuhnya itu sering membantunya menguruskan keperluan hariannya termasuk membantu mengambil wuduk.

"Anak makcik (Razali) sering bantu dan papah saya ke bilik air untuk ambil wuduk dan angkat makcik duduk di kerusi roda disebabkan lutut makcik sudah tidak berupaya seperti dahulu," katanya ketika ditemui NSTP, di rumahnya, di sini, semalam.

Wok yang dilahirkan di Kemaman, Terengganu dan mempunyai 60 cucu setakat ini, turut memaklumkan kadang kala anak perempuan yang keenam, Nor Aziah, 62, yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya turut menghantar dan membelikan makanan untuk mereka dua beranak.


WOK Osman, 100 dibantu oleh anak-anaknya yang tidak mampu berjalan atau berdiri disebabkan faktor usia ketika ditemui di perkampungan Tanjung Api. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Berdasarkan perbualan penulis dengan warga usia berkenaan mendapati, walaupun Wok sudah menginjak usia senja dan sering dikaitkan dengan penyakit nyanyuk, namun perkara itu sama sekali tidak dialaminya malah masih mampu menghafal zikir ringkas serta mengenali semua 12 anak dan sebahagian besarnya cucunya.

"Walaupun arwah suami sudah lama meninggal dunia pada tahun 1996 akibat sakit tua, namun saya bersyukur kerana dipanjangkan usia dan Alhamdulillah dapat meneruskan hidup bersama anak dan cucunya.

"Mak cik tiada rahsia pemakanan, makan apa sahaja yang anak beri. Cuma saya makan dalam kuantiti sedikit sahaja," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1942.


WOK Osman, 100 menceritakan kepada wartawan berkaitan keadaan dirinya ketika ditemui di perkampungan Tanjung Api. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Wanita itu mengakui dia amat takut dengan tentera dari negara ‘Matahari Terbit’ itu.

"Pada waktu dahulu kalau mak cik berjalan di kawasan kampung, kalau nampak pondok kawalan mak cik akan tunduk hormat (kerana takut pada tentera Jepun) walaupun mak cik tahu dalam pondok tiada tentera Jepun," katanya.

Sementara itu, anak perempuannya Nor Aziah, 62, berkata, dia sentiasa memantau keadaan kesihatan ibunya itu selain melawat wanita itu setiap hari.

"Insya-Allah genap umur emak 100 tahun pada 15 April ini, kami semua adik-beradik bercadang untuk berkumpul dan mengadakan sedikit majlis makan-makan kerana genap usia emak satu abad.

"Kami sekeluarga bersyukur kerana ibu masih sihat dan berpendapat dia seorang yang istimewa kerana tidak ramai warga emas yang hidup hingga usia mencecah 100 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 7:36 PM
WOK Osman, 100 menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti ketika ditemui di perkampungan Tanjung Api. FOTO Muhd Asyraf Sawal