KEADAAN Perodua Viva yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Sadong Jaya, Kota Samarahan, hari ini. Amat Nasip (gambar kecil). FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


NASIB malang menimpa lelaki yang sedang berkebun di bahu jalan apabila dia maut dirempuh kereta yang terbabas di Sadong Jaya, Kota Samarahan, hari ini.

Mangsa Amat Nasip Maderusti, 64, ketika itu dipercayai sedang memeriksa sayuran tanamannya meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Manakala, penunggang motosikal, 68, yang dirempuh kereta terbabit dari belakang, turut maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan pada 6.45 pagi itu membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas Perodua Viva dipandu remaja perempuan, 18, dari arah Sadong Jaya tiba-tiba hilang kawalan.

“Kereta terbabit kemudian merempuh sebuah motosikal yang ditunggang lelaki warga emas, Bungkus Jati, yang bergerak di laluan sama.

“Selepas melanggar motosikal, kereta itu terbabas dan melanggar pula Amat Nasip,” katanya.

Menurutnya, kereta dipandu gadis itu turut berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar pula dengan Perodua Kancil yang dipandu lelaki, 46.

Katanya, gadis terbabit bagaimanapun tidak cedera, manakala lelaki yang memandu Perodua Kancil cedera ringan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menjalani bedah siasat petang ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:22 PM