PACUAN empat roda majikan mangsa yang terbabas di tengah jalan.
Junaidi Ladjana

junaidi_ladjana@nstp

Lahad Datu: Tindakan nekad seorang lelaki melompat ke belakang tempat menyimpan barang pacuan empat roda milik majikannya menyelamatkan kenderaan itu daripada dilarikan dua penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Bukit Belacon, Segama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari, mangsa berusia 39 tahun luka di kaki dan tangan kanan akibat terseret daripada kenderaan pacuan empat roda yang cuba dilarikan suspek.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya untuk mengambil bekalan makanan dan memberhentikan kenderaan milik majikan yang dipandunya di hadapan rumahnya dalam keadaan enjin hidup.

Menurutnya, ketika mangsa keluar dari kenderaan, seorang lelaki memakai penutup muka tiba-tiba keluar dari kereta Proton Saga lalu menghampirinya dan mengacukan pisau.

“Bimbang keselamatannya terancam, mangsa mengundurkan diri. Suspek itu masuk ke dalam kenderaan mangsa dan beredar dari lokasi berkenaan.

“Ketika kenderaan itu bergerak, mangsa melompat ke belakang tempat menyimpan barang dan suspek yang menyedari tindakan mangsa terus memecut laju kenderaan berkenaan,” katanya.

Katanya, ketika berada di belakang kenderaan, mangsa mengambil batang besi lalu memecahkan cermin di bahagian pemandu lalu memukul suspek.

“Akibat pukulan itu, kenderaan dipandu suspek melanggar besi penghadang jalan sebelum memberhentikan kenderaan berkenaan di tengah jalan.

“Mangsa cuba menerkam suspek, tetapi lelaki itu yang disyaki cedera melarikan diri dengan menaiki kereta yang dipandu rakannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa menghubungi majikannya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis bagi mendapatkan bantuan.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dengan ambulans,” katanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan termasuk mengesan suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 5:30 AM