Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


DUA beranak dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Omar, 53, dan anaknya, Jaffar Ahmad, 27, selepas mereka mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan pada sebutan kes itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 30 Ogos 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

"Orang yang kamu lindungi itu adalah pengganas yang dikehendaki polis, jika kamu lapor, sudah tentu aktiviti pengganas dapat dibanteras. Jika kamu tidak sanggup untuk lapor pada polis, awal-awal lagi jangan bawa mereka kerja dengan kamu.

"Saya boleh nasihati kamu tapi selebihnya terpulang pada diri kamu sendiri," katanya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad dan Jaffar, kedua-duanya bekerja sebagai pemasang jubin didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan Hajar Abdul Mubin, pengganas Abu Sayyaf yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di MAG-03 Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Hulu Langat, Selangor pada 1 Mac 2017 hingga 30 Ogos 2017.


ANTARA ahli keluarga dua beranak, Ahmad Omar ,53, dan Jaffar Ahmad, 27, yang dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi selepas dengan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, tahun lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Faida Mohd Rasidee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tidak dapat menahan tangisan mereka ketika membuat rayuan kepada mahkamah dan memohon mereka dikenakan hukuman ringan.

Nur Faida bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah rumah dan merampas telefon bimbit dari kedua-dua tertuduh dan hasil siasatan mendapati tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa Hajar atau dikenali sebagai "Abu Asri" telah menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang mana Abu Asri diajar menggunakan senjata api dan pernah berperang di Filipina.

Keterangan turut menunjukkan Abu Asri telah lama berada di Malaysia sejak 2011 dan pernah bekerja dengan Ahmad sebagai buruh binaan dengan memasang jubin lantai dan mengecat.

Kedua-dua tertuduh telah mengetahui Abu Asri menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf tetapi mereka gagal memberikan maklumat itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 7:02 PM