GAMBAR hiasan
Syed Umar Ariff; Rohaniza Idris;Veena Babulal dan Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 11 insentif baharu bernilai RM2.9 bilion untuk mengukuhkan lagi usahawan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di negara ini.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat memahami usahawan memerlukan sokongan kerajaan.

"Untuk mengukuhkan lagi tiang sokongan kerajaan kepada usahawan PKS Bumiputera kita umumkan 11 insentif baharu ini," katanya di hadapan 10,000 usahawan Bumiputera sempena

Himpunan Usahawan Bumiputera di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, insentif pertama adalah penyenaraian syarikat PKS di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dengan peruntukan RM50 juta.

"Untuk tujuan itu geran bersamaan (matching grant) sejumlah RM500,000 akan diberikan kepada setiap syarikat yang berjaya disenaraikan dan dimasukkan dalamProgram Entrepris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp.

"Kedua, insentif Program Local to Global Acsend 800 atau LGC 800 dengan peruntukan berjumlah RM40 juta. Insentif ini memanfaatkan 80 syarikat PKS Bumiputera berprestasi tinggi dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM500,000 bagi syarikat untuk mentransformasi perniagaan masing - masing," katanya.

Beliau berkata,insentif ketiga ialah Dana Insentif bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sebanyak RM60 juta bagi 2019 untuk mempersiapkan dan melatih belia Bumiputera.

Insentif keempat katanya adalah galakan Elaun Peningkatan Eksport bagi PKS dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2020.

"Insentif kelima pula adalah inisiatif pelaksanaan WIRA eDagang di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dengan peruntukan RM50 juta untuk 10,000 PKS Bumiputera dalam tempoh tiga tahun.

"Seterusnya,insentif SpeedMeUp dengan peruntukan RM50 juta di bawah SME Corp yang mana syarikat Bumiputera akan dibantu dengan geran bersamaan sehingga RM250,000 bagi memulakan operasi," katanya.


NAJIB berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera 2018. FOTO Asyraf Hamzah

Ketujuh, beliau mengumumkan dana sebanyak RM500 juta disediakan bagi mempergiatkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam industri peruncitan dan pengedaranyang mana RM200 juta sumbangan kerajaan dan RM300 juta daripada Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB).

Menerusi insentif kelapan pula, MARA akan melanjutkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) berjumlah RM50 juta untuk manfaat 3,000 usahawan Bumiputera.

"Kesembilan adalah insentif memperkasa Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (TERAJU) menjadi penyelaras tunggal bagi semua dasar dan program berkaitan Bumiputera di setiap peringkat Kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Insentif ke-10 adalah peruntukan RM50 juta di bawah Dana Insentif Pelaburan bagi melonjak pemilikan ekuitiBumiputerayang terbabit dalam sektor strategik terpilih.

Akhir sekali, katanya, Dana Mudahcara Bumiputera dilanjutkan untuk fasa kedua dengan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 8:49 PM