MOHMAD (tiga dari kanan) melihat bungkusan dadah yang dirampas, semalam.
Mohd Hasbi Sidek


Kajang: Bungkus dadah menggunakan paket serbuk teh. Itu taktik satu sindiket menyeludup syabu seberat 141.27 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM10 juta dari Thailand untuk pasaran negara ini.

Taktik itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas berjaya menahan enam individu dalam serbuan di Kajang, Gombak dan Melaka, bermula Khamis lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bermula jam 11.20 malam dan berakhir 12.30 tengah malam kelmarin turut mendapat kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Melaka.

‎“Serbuan pertama di Jalan Bukit Kajang, di sini, menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai ketua sindiket.

“Serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Abdul Aziz, dekat sini, menemui 120 bungkus dadah dianggarkan seberat 127kg. Susulan itu, kami melakukan serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Gombak, Gombak dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an bersama seorang wanita warga Thailand berusia 30-an.

“Turut ditemui 11 bungkus dan empat bekas dadah jenis syabu seberat 12.8kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan serbuan di Bukit Pulau, Melaka, dan menahan seorang wanita.

Katanya, ketika pemeriksaan polis turut menemui sepucuk pistol dengan dua kelopak peluru selain 90 peluru.

“Dalam serbuan ini, polis merampas tiga bungkus dadah seberat 25kg. Polis kemudian melakukan serbuan di Klebang, Melaka dan menahan seorang lelaki berusia 50-an,” katanya.

Mohmad berkata, polis percaya dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran negara ini oleh sindiket tempatan.

“Semua suspek direman sehingga 5 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua daripada suspek mempunyai rekod membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:38 AM