ANAK ikan paus dipercayai daripada spesies Bryde ditemui terdampar di pesisir pantai berhampiran Kampung Indarason, Kudat, hari ini.

Penduduk kampung yang menyedari kehadiran hidupan laut itu menghubungi pihak berkuasa termasuk pengurusan Taman Tun Mustapha pada 6.30 pagi.

Ikan paus sepanjang kira-kira 4.5 meter itu ditemui masih hidup namun lemah dengan beberapa kesan kecederaan pada badannya.

Penolong Pengarah Taman Tun Mustapha, Fazrullah Rizally Abdul Razak berkata, ikan paus berkenaan dipercayai dibawa arus ke tepi pantai ketika air pasang.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menunjukkan tanda untuk kembali ke kawasan laut dalam.

“Ketika ini, ramai pihak membantu haiwan berkenaan sementara menunggu kehadiran Unit Kecemasan Hidupan Liar,” katanya di lokasi penemuan, hari ini.

Penemuan ikan paus berkenaan viral di laman sosial pagi ini selepas dikongsikan penduduk kampung sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 2:04 PM
ANAK ikan paus dipercayai daripada spesies Bryde ditemui terdampar di pesisir pantai berhampiran Kampung Indarason. FOTO ihsan Taman Tun Mustapha