MOHD Haris Ibrahim. FOTO fail NSTP
Junaidi Ladjana


HANYA kerana terlanggar reban ayamnya, seorang lelaki ‘naik minyak’ membelasah bapa saudaranya termasuk memukul dengan kerusi plastik dalam kejadian di Kampung Putaton, Penampang, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 50-an yang cedera di mulut dan muka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek berang selepas bapa saudaranya terlanggar reban ayam miliknya dengan kereta.

“Akibat kejadian itu, suspek menumbuk muka mangsa serta memukulnya dengan menggunakan kerusi plastik.

“Mangsa yang cedera di mulut dan bengkak di bahagian muka dibawa ke HQE Kota Kinabalu untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat keluarga mangsa, polis memberkas suspek berusia 31 tahun selepas laporan polis dibuat jam 12.28 tengah malam tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 3:40 PM